Konsep Kepimpinan Pengurusan Menurut Ibnu Khaldun

on Tuesday, September 11, 2007

Ibnu Khaldun (732-808H) ialah Abu Zaid Wali Addin Abdul Rahman. Beliau dilahirkan di Tunisia pada tahun 1332M (732H), dan merupakan seorang ahli falsafah tasawwuf dan pendidik. Beliau menuntut ilmu di Tunisia dan berguru dengan bapanya serta beberapa orang ulama’ yang terkemuka. Beliau juga menyandang beberapa jawatan pengurusan dan politik di bawah pemerintahan beberapa raja di Andalus dan Maghribi. Tetapi kemudian beliau berasa bosan dengan kehidupan politik serta keadaan politik pada masa itu, lalu menumpukan usahanya kepada penulisan dalam tempoh masa di antara 776H dan 778H, dan menghasilkan ensiklopedia sejarah, dinamakan “ Kitab al-‘Ibar Wa Dewan al-Mubtada’ Wal-Khabar fi Ayam al-Arab Wa al-‘Ajam Wal-al-Barbar wa man ‘Asarahum Min Zawi al-Sultan al-Akhbar”. Dan dilampirkan dengan maklumat peribadi dengan tajuk “ al-Ta’akrif bi-ibni Khaldun”. Beliau menulis sesuatu muqaddimah (pendahuluan) untuk kitabnya itu yang amat masyhur disebabkan nilai ilmiahnya yang tinggi. Ia berjaya meletakkan Ibnu Khaldun di kemuncak pemikiran kemasyarakatan ilmiah. Kemudin beliau berpindah ke Mesir dan bekerja di bidang kehakiman serta pengajaran di al-Azhar, sehingga meninggal dunia pada tahun 808H/1406M di Kaherah (Wafi 1962)

Pemikiran Ibnu Khaldun mengenai perkara-perkara kemasyarakatan mempunyai kesan yang amat kuat ke atas pemikiran pentadbiran dari sudut anggapan pentadbiran pengurusan menurut konsepsi kemasyarakatannya. Beliau menganggap bahawa pentadbiran sebagai satu kegiatan kemasyarakaan bagi menguruskan usaha-usaha kemanusian, berkumpulan disamping peranannya sebagai pemimpin organisasi kemasyarakatan dan juga teorinya mengenai kerja sebagai sumber penghargaan (Wafi 1962).

Sebelum Ibnu Khaldun mendapati kajian fenomena-fenomena kemasyarakatan di tumpukan kepada berbagai-bagai haluan atau metod. Di antara pengkaji menggunakan metod persejarahan hanya dengan menyifatkan dan membincangkan fenomena-fenomena kemasyarakatan dalam bentuk hakiki serta perkembangannya. Terdapat pengkaji-pengkaji lain yang membincangkan prinsip-prinsip akhlak dan akidah yang berhubung kait dengannya disamping perlunya diikuti. Ada juga pengkaji yang menyeru kepada prinsip-prinsip terpuji dan mereka berpendapat bahawa masyarakat patut disusun atur menurutnya.

Tetapi Ibnu Khaldun mempunyai keistimewaan iaitu usahanya mencari usul-usul ilmiah yang menguasai fenomena-fenomena dan mentafsirkannya menurut kajian ilmiah terhadap fenomena-fenomena tabi’e. Dengan ini sesungguhnya beliau boleh dianggap sebagai pengasas ilmu kemasyarakatan.

Usaha Ibnu Khaldun untuk mendalamkan asas ilmiah sesuatu fenomena kemasyarakatan mendorongnya menjalankan kajian perbandingan di antara fenomena-fenomena yang berlaku. Dan mengkaji kesan faktor suasana sekeliling dalam membentuk serta mengorganisasikan setiap masyarakat dan tingkahlaku anggotanya dari hal politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Inilah metod ilmiah secara bandingan yang dilakukan pada kurun ini oleh para pengkaji sains sosial dan di antaranya ialah ilmu kepimpinan pengurusan serta pentadbiran. Ini juga dijelaskan serta dibangkitkan oleh pengajian pentadbiran pengurusan umum beserta bandingannya. Hal ini amat nyata semenjak pertengahan kurun ini dalam kajian yang dijalanan oleh para cendiakawan barat seperti Gaus, Heady dan Rigs yang menggunakan contoh-contoh dari kedua-dua masyarakat iaitu masyarakat pertanian dan industrial serta suasana sekeliling terhadap sesuatu organisasi dan tingkahlaku para pemimpin pengurusan (Hamdi Amim 1970)

Sesungguhnya metod ilmiah Ibnu Khaldun yang diciptakannya dalam pengajian kemasyarakatan menjadikannya benar-benar sebagai pemimpin organisasi kemasyarakatan. Untuk menyokong pendapat ini, penulis menitikberatkan kata-kata seorang alim dari Amerika Syarikat bernama Ernest Dil (1960) ertinya:

“Sesungguhnya ahli sejarah Ibnu Khaldun yang merupakan pakar rujuk organisasi dan urusan-urusan politik kepada raja-raja dan khalifah-khalifah di Afrika Utara dan Sepanyol pada kurun keempat belas. Beliau mengetahui dengan bijaksana serta kecerdikannya, asas-asas pertama yang teratur bagi menjalankan cara bandingan dalam pengkajian organisasi dan pemprosesan keputusan-keputusan yang berhubung dengannya. Dan kemungkinan sehingga kini masih terdapat beberapa hasil pemikiran serta ideanya yang boleh diaplikasikan”.

Ibnu Khaldun berpendapat bahawa jika seseorang mahu memahami organisasi, perlu memulakan dengan usaha memahami kenyataan-kenyataan luaran. Ia boleh didapati daripada apa yang berlaku dahulu atau pengalaman peribadi dan juga pengetahuan bahawa jika seseorang ingin mengenalpasti organisasi yang paling sesuai, dia perlu memulakan usahanya itu dari yang diketahui, iaitu yang jelas nyata kebenarannya kepada yang tidak diketahui atau dikenali. Pada mulanya kemungkinan pengetahuan seperti ini merupakan satu proses berasaskan pengalaman yang didapati dari pemulangan percubaan serta kesalahan di samping pendedahan lama, yang mana menerusinya seseorang boleh mendapat cara-cara yang baik supaya melaksanakan kerjasama dalam pengeluaran barang-barang atau mengorganisasikan hubungan politik dan sosial di samping mengenali cara-cara yang salah dan seterusnya boleh dielak.

Ibnu Khaldun mengkaji cara-cara memulihkan sesuatu organisasi menerusi “Ilmu Pengetahuan”. Beliau mengkaji pelbagai contoh masyarakat supaya menekankan fakta sejarah dan juga membetulkan beberapa laporannya. Dalam kajiannya mengenai organisasi-organisasi pelbagai masyarakat, beliau mendapati bahawa sebab utama adalah berbeza dari sebab rasmi. Contohnya: perbezaan organisasi rasmi dari organisasi tidak rasmi.

Apabila seseorang berjaya menekankan fakta-fakta mengenai masyarakat atau organisasi, maka dia sudah boleh menjalankan usaha perbandingan. Ibnu Khaldun menekankan sokongannya terhadap masyarakat atau organisasi Kamil (lengkap) sebagai asas perbandingan dengan masyarakat (organisasi lain). Beliau juga memikul tanggungjawab untuk mencapai prinsip-prinsipnya dengan bantuan ilmu-ilmu penjelasan logik seperti ilmu psikologi, geografi dan ilmu cuaca.

Ibnu Khaldun mengemukakan satu kesimpulan bahawa seseorang patut mengkaji proses perkembangan dalam sesuatu organisasi dan dengan itu dia boleh menjangka apa yang akan berlaku terhadap kemajuan perkembangan itu pada masa akan datang seperti kehidupan tabi’e. Setiap organisasi mempunyai permulaan kemudian ia meningkat maju sehingga ia sampai ke akhirnya (Ernest Dil 1960)

Ibnu Khaldun berjaya mendahului pengkaji barat “Adam Smith”, apabila beliau mengemukakan teori:- “Pekerjaan sumber asas nilai serta kekayaan. Dan bahawasanya pertanian, perindustrian dan perdagangan sahaja merupakan pekerjaan-pekerjaan pengeluaran yang mempunyai nilai”. Ibnu Khaldun menjelaskan teorinya itu dalam muqaddimahnya (Wafi 1957).

“ Ketahuilah bahawa keuntungan hanya boleh dicapai dengan berusaha untuk mendapat sesuatu serta bermatlamat mencapainya. Jadi untuk mencari rezeki mesti melalui usaha dan pekerjaan di samping melalui jalan-jalan yang tertentu”.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut, ayat 17 yang bermaksud”…oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah”. Dan berusahalah mencari rezeki itu hanya boleh dengan kuasa dan taufik dari Allah serta ilham-Nya. Sesungguhnya segalanya dari Allah. Kerja-kerja kemanusiaan amat diperlukan dalam setiap yang didapati atau dijadikan sebagai harta kerana jika ia merupakan pekerjaan sendiri seperti perusahan, ia nyata dan jika ia diperolehi dari ternakan atau pertanian atau pun perlombongan, ia amat memerlukan usaha kemanusiaan sebagaimana kamu lihat, jika tidak, ia tidak akan memberikan apa-apa manfaat.

Dan jika ini semua sudah pasti, ketahuilah bahawa segala manfaat yang telah didapati oleh manusia dan dijadikan sebagai harta, jika ia dari perusahaan faedahnya ialah apa yang telah didapati dari nilai-nilai pekerjaan. Di sini amat jelas bahawa segala atau paling banyak faedah atau kedapatan hanya merupakan nilai kerja kemanusiaan.

petikan dari : http://www.geocities.com/maans81/kertas2.htm

0 comments: