Ibu Bapa role model anak-anak

on Tuesday, September 25, 2007


Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkkanya. Di sinilah terletaknya tanggungjawab ibu bapa yang diibaratkan sebagai pena yang akan membentuk diri anak-anak. Setiap ibu bapa mengimpikan dan mengharapkan anak-anak mereka, mempunyai akhlak yang baik, mendengar kata, tidak melawan ibu bapa dan taat akan suruhan agama. Salah satu amalan yang tidak akan terputus pahalanya di alam barzakh kelak adalah doa daripada seorang anak yang soleh.

Sebagaimana yang telah Allah gambarkan di dalam Al-Quran, surah al-Isra’, ayat 23-24, ‘Maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya(ibu bapa) perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia. Dan rendahkanlah diri terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku, kasihilah keduanya sebagaimana keduanya telah mendidik aku sewaktu kecil”.

Sebagai umat Islam, segala permasalahan yang berlaku sewajibnya kita kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah. Rasullullah s.a.w pernah mengatakan bahawa, kita tidak akan sesat selagimana kita berpegang dengan dua perkara iaitu, al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w.

Islam adalah ad-Din. Menurut Abd al-Karim al-Syahrastani di dalam kitabnya, al-Mihal wa al-Nihal (Ideologi dan Agama), Din bererti kepatuhan dan penyerahan diri. Al-Din juga adalah merupakan cara hidup (way of life), yang bimbingannya menaungi segala bidang kehidupan manusia. Oleh itu tidak dapat tidak, kehidupan setiap muslim adalah mesti berpaksikan kepada aqidah Islam, iaitu ketaatan kepada Allah s.w.t dan berpandukan cara hidup yang digariskan oleh Islam.

Menjadi sunnah kepada setiap bapa akan melaungkan azan atau iqamah di setiap kelahiran anak kesayangan. Di sinilah pendidikan awal anak itu bermula dan mengangkat martabat ibu bapa sebagai guru pertama kepada anak-anak. Islam juga menuntut ibu bapa memberikan nama yang mengandungi makna yang baik kepada anak-anak.

Di dalam kitabnya Fatwa Masa Kini, Yusof al-Qardawi menyebut, memperelokkan nama anak adalah hak yang paling utama ke atas kedua ibu bapa. Beliau menyatakan, Rasulllullah s.a.w mennyuruh kepada ibu bapa menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama nabi, sebak-baiknya nama yang dikasihi Allah, Abdul Rahman dan Abdullah (riwayat Muslim). Sejujur-jujur nama adalah Harith dan Hamam, sebagaimana terdapat di dalam hadis. Ini kerana, nama yang baik itu adalah merupakan doa bagi anak-anak. Islam secara jelas menunjukkan di dalam mendidik, doa merupakan satu elemen yang penting hatta dalam menamakan anak-anak.

Islam mengariskan beberapa panduan dalam memilih nama, secara ringkasnya:

Hendaklah nama itu baik, iaitu nama yang tidak dipandang buruk oleh orang ramai. Maknanya nama tersebut tidak membawa maksud tercela dan sebagainya.

Bukan sesuatu yang di sembah selain Allah. Seperti Abdul Kaabah ( Hamba Kaabah), Abdul Nabi(Hamba Nabi) dan Abdul Husain (Hamba Husain).


Tidak menunjukkan bunyi takabbur, kebesaran, ketinggian diri daripada manusia lain tanpa hak. Contohnya, al-Aziz, ar-Rahman, al-Halim dan sebagainya. Kerana hanya khusus untuk Allah. Yang dibenarkan adalah Aziz, Rahman, Halim dan sebagainya.

Disunatkan dengan nama Nabi-Nabi, lelaki dan perempuan yang soleh untuk menjadi ingatan kepada mereka dan sebagai galakan mencontohi mereka.

Ulama tidak melarang memberikan nama bukan arab selagimana maknanya baik pada bahasanya.


Di dalam mendidik anak, merujuk kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, dan Abu Daud daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a. daripada Rasullullah s.a.w bersabda : “Suruh anak-anak kamu bersembahyang, apabila mereka mencapai usia tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana tidak sembahyang, apabila mereka mencapai usia sepuluh tahun dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur”.

Perlu difikirkan bahawa, kenapa perlu kepada tempoh berumur 7 tahun mengajarkan solat dan ketika 10 tahun dipukul jika tidak melaksanakan solat serta dipisahkan tempat tidur? Saya berpandangan, peringkat umur tersebut adalah merupakan tempoh masa yang paling sesuai dalam membentuk peribadi anak-anak dengan nilai-nilai Islam. Merujuk kepada apa yang dinukilkan di dalam buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam oleh Abdullah Nasih Ulwan, beliau ada menyatakan bahawa wajib atas setiap pendidik memerhatikan anaknya dari sejak dia masih kecil lagi, seraya mengenalkannya perkara-perkara kebaikan dan kejahatan, perkara-perkara yang halal dan haram dan segala liku-liku kebenaran dan kebatilan. Dianjurkan juga kepada anak tersebut melakukan perkara yang halal serta menjauhkan perkara yang haram.

Hakikatnya, tidak ramai ibu bapa mengambil cakna tentang soal ini. Bagi mereka, cukup sahaja dengan anak-anak diberikan makan dan minum, pakaian, keperluan harian dan hadir ke sekolah serta menyerahkan secara bulat-bulat soal pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah, tanpa ada rasa tanggungjawab untuk Ini merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh ibu bapa.

Rasullullah s.a.w merupakan contoh teladan terbaik bagi umatnya. Saidatina A’isyah apabila ditanya, bagaimana akhlak Baginda s.a.w.? Lalu dijawabnya, akhlak baginda s.a.w adalah al-Quran. Jika Baginda s.a.w contoh teladan kepada umatnya, maka ibu bapa pula semestinya contoh teladan atau ‘role model’ kepada anak-anak mereka. Sehinggakan apabila ibu bapa hendak menunaikan solat, laksanakanlah solat tersebut di hadapan anak-anak mereka walaupun anak tersebut masih kecil lagi. Sekurang-kurangnya kelakuan tersebut memberi isyarat bahawa anak itu perlu mengikut dan mencontohi apa yang ibu bapa mereka lakukan.

Namun apa yang menyedihkan kita, segelintir ibu bapa tidak lagi menjadi ‘role model’ bahkan merosakkan anak-anak. Terdapat ibu bapa yang menonton video yang kurang senonoh bersama-sama anak-anak sebagai tontonan keluarga, ada juga yang meminum minuman keras dan menyimpannya di dalam peti sejuk di rumah mereka serta tidak kurangnya yang mengalakkan anak-anak mengadakan parti tari-menari di rumah. Jadi, di manakah letaknya nilai ibu bapa sebagai ‘role model’ yang dikagumi, yang dikehendaki oleh Islam?

Ibu bapa adalah kaunselor dan mentor kepada anak-anak. Inilah yang diimpikan oleh setiap anak-anak. Sering kali mereka mempunyai masalah yang di bawa dari sekolah, maka ibu bapalah sewajarnya menjadi tempat mengadu. Ada masalah tekanan dengan bebanan akademik, maka ibu bapalah selaku meringankannya. Jika mereka mempunyai masalah perasaan, pengurusan hidup dan sebagainya, maka ibu bapa adalah orang pertama yang akan didampinginya. Oleh itu, ibu bapa merupakan pendengar yang setia dan seorang yang prihatin terhadap permasalahan anak-anak. Bukannya menjadi penghukum dan terburu-buru di dalam sesuatu tindakan.

Anak-anak, jiwa mereka cukup sensitif. Perlu dibelai dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Mereka diibaratkan seperti pohon benih yang baru tumbuh menjalar. Perlu disiram, dibajai secukupnya dan dijaga rapi agar pertumbuhannya teratur dan tidak terbantut. Jika tersilap langkah, maka rosaklah pohon tersebut.

Maksudnya di sini, kasih sayang perlulah diberi secukup rasa, jika terlebih, lain jadinya. Kadang-kadang, anak-anak perlu dipukul dan dimarahi, tetapi bukanlah secara membuta tuli dengan mengikut hawa nafsu. Di dalam Hadis 41, Matan ar-Bai’in,Rasullullah s.a.w bersabda :

“ Tidak sempurna iman kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya atau kecenderungannya) mengikut apa yang aku bawa dengan dia”.

Mustafa Abdul Rahman telah mensyarahkan hadis ini, bahawa terlaksananya segala kebaikan yang telah diperintahkan oleh agama serta terjauhnya segala kejahatan yang dilarang adalah disebabkan mendahului iman dari kemahuan hawa nafsu. Sebaliknya dengan mendahului nafsu, maka segala kebaikan tidak berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan sesuatu yang dikehendaki oleh iman. Dengan kata lainnya, jika kita meletakkan hawa nafsu di hadapan kita dalam melakukan sesuatu perkara, maka tiada perkara yang baik akan berlaku selepas itu.

Islam mengajar penganutnya supaya meletakkan iman di hadapan di dalam sebarang perkara. Oleh itu, marahilah dan pukullah anak-anak dengan niat untuk mengajarkannya dan membetulkannya, atas dasar rasa kasih dan sayang kepada mereka. Agar selepas itu bertambah hormat kepada ibu bapa dan ketaatan kepada perintah Allah s.w.t.
Yusof al-Qardawi menyebut, “seseorang ayah tidak sepatutnya cuai dalam mendidik anaknya yang masih kecil dan tidak cuai menunaikan tanggungjawab mendidik dan menyedarkannya, penjagaan yang baik, sentiasa memerhati, menasihati dengan cara yang bijak, mendidik dengan cara yang lembut pada ketika semestnyai lembut, berkeras pada ketika semestinya keras, memberi penghormatan dalam keadaan tertentu jika melakukan kebaikan dan menjauhkannya dari memberikan bantuan untuk melakukan kejahatan”.

Bapa adalah ketua keluarga dan ibu pula, pembantunya. Ibu bapa umpama tonggak kepimpinan institusi kekeluargaan dan anak-anak adalah orang yang memerlukan mereka untuk dipimpin. Bertepatan dengan sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, “ setiap orang dari kamu adalah peminpin, kamu semua bertanggungjawab ke atas rakyat kamu, seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap ahlinya”.


Oleh itu, ibu bapa adalah guru kepada anak-anak, contoh teladan yang dikagumi, kaunselor dan mentor yang prihatin, pendengar yang setia dan penyemai kasih sayang yang menenangkan jiwa serta pelindung kepada anak-anak. Keluarga yang baik adalah keluarga yang sentiasa mencari keredaan Allah. Kehidupan mereka mengambarkan indahnya Islam dalam mengatur kehidupan.


Wassalam.


0 comments: